PETALING JAYA: Satu pertuduhan akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pegawai pengurusan tertinggi tentera dalam masa terdekat berhubung kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap individu terbabit kini berada di peringkat akhir dan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara, pegawai berkenaan akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.
Menurut beliau, siasatan ketika ini memberi tumpuan kepada individu tersebut terlebih dahulu sebelum kemungkinan wujudnya perkembangan lanjut melibatkan pihak lain.
“Ini satu perkara yang tidak boleh dibiarkan. Jika saya tidak mengambil tindakan, akan timbul persepsi dan saya sendiri akan berasa bersalah kerana tidak menunaikan tanggungjawab.
“Seolah-olah kes besar terlepas, kes kecil tidak. Ini adalah satu ketidakadilan,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Azam berkata, beliau tidak mahu mengulas panjang mengenai isu keadilan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai hujah.
Namun katanya, keadilan perlu dilihat berdasarkan situasi dan dalam kes ini, semakin tinggi pangkat seseorang, semakin besar keperluan untuk tindakan tegas diambil sekiranya berlaku kesalahan.
“Pegawai tertinggi ini akan dituduh terus. Saya akan memohon cadangan daripada Peguam Negara untuk pendakwaan. Kita tidak mahu selepas tangkapan dibuat, individu itu disimpan lama tanpa tindakan, sebaliknya akan terus dituduh,” jelasnya.
Beliau berkata, individu terbabit disiasat berhubung kes rasuah yang melibatkan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Ditanya mengenai jumlah wang rasuah yang terlibat, Azam berkata perkara itu belum boleh didedahkan buat masa ini namun menegaskan bahawa kedudukan dan pangkat individu terbabit menjadi fokus utama siasatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kes berkenaan adalah berbeza daripada siasatan yang pernah dijalankan terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD).-UTUSAN










