PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) terus memacu pembangunan mampan dalam bidang teknologi kewangan (fintech) di Malaysia melalui PayNet Fintech Hub bagi memperkukuh keterlihatan syarikat fintech tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh berkata, PayNet Fintech Hub diwujudkan untuk menterjemah inovasi kepada impak sebenar.
Katanya, melalui proof-of-concept yang dibangunkan bersama rakan industri, syarikat dapat melihat pelbagai penyelesaian praktikal kini menjadi kenyataan dari kontrak pintar yang meningkatkan kepercayaan dan kecekapan hingga program pulangan tunai untuk barangan keperluan harian.
“Penyelesaian teknologi ini menyokong keterangkuman kewangan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian yang direka khas untuk kedai serbaneka.
“Pencapaian ini hanyalah permulaan bagi hab ini dan juga membuktikan bagaimana fintech mampu menyelesaikan cabaran harian, memperkukuh perniagaan, serta memperluas akses kewangan,” katanya dalam kenyataan.
PayNet berkata, ekosistem berstruktur ini membantu syarikat pemula di Malaysia untuk membina, menguji dan mengembangkan perniagaan melalui akses langsung kepada rakan industri, sokongan modal serta bimbingan praktikal.
Katanya, hab tersebut telah memberi impak nyata kepada 50 syarikat fintech sejak dilancarkan pada Mei 2025.
“Syarikat pemula telah mendapat sokongan daripada 50 rakan ekosistem merangkumi sektor perbankan, teknologi, pelaburan dan perkhidmatan bersama. Sokongan bernilai tambah melebihi RM5 juta, termasuk RM3 juta kredit awan dan lebih 450 jam bimbingan telah disalurkan kepada syarikat-syarikat fintech tersebut.
“Melalui program ini, syarikat pemula berjaya mengumpul dana lebih daripada AS$1 juta (RM4.06 juta), dengan penyelesaian teknologi yang berpotensi memberi manfaat kepada lebih lapan juta rakyat Malaysia yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan serta 800,000 PMKS,” jelasnya.
Tambahnya, hab ini telah memudah cara 11 peluang melibatkan 26 syarikat fintech melalui pelbagai projek perintis dan kerjasama strategik, merangkumi tujuh projek perintis antara syarikat fintech dan korporat, serta empat projek perintis antara syarikat fintech.
“Antara inisiatif yang disokong melalui PayNet Credit Fund bernilai RM1 juta termasuk enjin pulangan tunai menggunakan pengecaman aksara optik oleh Buzz dengan kerjasama Touch ’n Go serta inisiatif pendigitalan pembayaran oleh Fluid bersama sebuah jenama barangan pengguna bergerak pantas bertaraf global.
“Penglibatan komuniti kekal sebagai teras pertumbuhan hab ini. Acara utama TGI Friday (TGIF) pada Oktober 2025 telah berjaya menghimpunkan lebih 200 pengasas, pelabur, institusi kewangan dan rakan kongsi, sekali gus mencerminkan momentum yang semakin meningkat serta kerjasama yang semakin kukuh dalam landskap fintech Malaysia,” jelasnya. –UTUSAN










