DENGKIL: Sebanyak 240,493 kenderaan perdagangan diambil tindakan menerusi Operasi Lebih Muatan di seluruh negara sepanjang tahun lalu, meningkat 47.2 peratus berbanding 126,974 kenderaan pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 465 buah kenderaan disita iaitu meningkat 85.2 peratus berbanding 69 peratus kenderaan bagi tempoh sama mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Secara keseluruhan, sebanyak 1.2 juta kenderaan telah diperiksa menerusi Operasi Lebih Muatan sepanjang tahun lalu berbanding 829,392 kenderaan pada tahun sebelumnya.
“Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada Lesen Vokasional, tidak menyelenggara tayar dengan baik, dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL),” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Peringkat Negeri Selangor di Hentian Rawat dan Rehat Dengkil (Utara) di sini, malam tadi.
Katanya, operasi itu dilaksanakan bagi mengesan kenderaan yang melanggar had muatan dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan serta pematuhan penggunaan Sistem Had Laju (SLD).
Aedy Fadli berkata, operasi itu dijalankan bertujuan memastikan kenderaan perdagangan beroperasi mengikut piawaian ditetapkan sekali gus tidak membahayakan pengguna jalan raya.
“Pelaksanaan operasi ini turut disokong Audit JISA (JPJ Inspection & Safety Audit) bertujuan menilai tahap pematuhan keselamatan, integriti operasi serta pengurusan risiko dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Aedy Fadli berkata, pihaknya melihat peningkatan pematuhan dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan terutama selepas pengumunan ‘perang’ terhadap kenderaan lebih muatan oleh
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sekitar Oktober tahun lalu. – UTUSAN










