ODA Malaysia tawar perkhidmatan logistik patuh syariah

ODA Malaysia tawar perkhidmatan logistik patuh syariah

INDERA Aria Wee (tengah) bersama penghantar yang menjana pendapatan bersama ODA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Platform logistik digital tempatan, ODA Malaysia memperkenalkan model teknologi pintar patuh syariah sebagai alternatif baharu dalam industri logistik dan ekonomi gig di negara ini.

Pengasasnya, Indera Aria Wee berkata, ia menekankan keadilan ekonomi, ketelusan urus niaga dan pengagihan nilai seimbang, sekali gus menawarkan alternatif beretika kepada model konvensional.

Katanya, model berteraskan nilai Islamik yang menolak riba, penindasan dan eksploitasi tenaga kerja itu menjadikan penghantar sebagai rakan logistik strategik dan bukan sekadar buruh ekonomi.

“Kita mahu memastikan vendor tempatan tidak terjerat dalam struktur kos yang membebankan, sekali gus selari dengan prinsip maqasid syariah.

“Platform dibangunkan bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran tetapi memperkenal model ekonomi digital yang berteraskan nilai dan tanggungjawab sosial.

“Ekonomi digital tidak seharusnya berkembang dengan mengorbankan kebajikan manusia. Prinsip patuh syariah memastikan keuntungan tidak dicapai melalui penindasan sebaliknya perkongsian adil dan telus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sokongan pengguna terhadap platform itu adalah satu bentuk tanggungjawab ekonomi dalam memastikan aliran kekayaan kekal beredar dalam negara.

“Memilih platform patuh syariah, mereka bukan sahaja menggunakan perkhidmatan tetapi turut menyumbang kepada pembinaan ekonomi adil, beretika dan berteraskan nilai Islam,” katanya.

ODA Malaysia giat menubuhkan hab logistik komuniti di beberapa kawasan strategik sebagai medium memperluas peluang ekonomi rakyat dan mengurangkan kebergantungan pada platform asing.

Usaha itu mampu menjadikan ODA Malaysia sebagai peneraju logistik digital patuh syariah tempatan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara yang inklusif, berdaya saing dan selari dengan nilai Islamik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×