SEREMBAN: Proses sulh melibatkan tuntutan harta sepencarian antara penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, 40 dan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, gagal mencapai penyelesaian.
Ia selepas selebriti itu gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff yang mewakili Afifah Hidayah berkata, ketidakhadiran selebriti itu tanpa sebarang notis telah menjejaskan matlamat prosiding sulh ataupun penengah yang sepatutnya melibatkan kedua-dua pihak.
Menurutnya, meskipun notis sulh telah diserahkan kepada pihak defendan, tiada sebarang maklum balas diterima sama ada kepada plaintif mahupun peguam berhubung ketidakhadiran tersebut.
“Proses sulh hari ini tetap diteruskan dan pegawai suluh telah mendengar keterangan daripada pihak Afifah. Namun, matlamat sulh tidak dapat dicapai sepenuhnya kerana Nubhan tidak hadir pada hari ini dan ia sepatutnya diwakili oleh kedua-dua pihak.
“Mahkamah menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan defendan atau peguam yang mewakilinya hadir serta memasukkan pembelaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata pihaknya telah menyerahkan saman serahan tuntutan harta sepencarian kepada peguam defendan sebelum tarikh sebutan tersebut bagi memastikan kelancaran prosiding seterusnya.
Sementara itu, Dr. Afifah Hidayah berharap bekas suaminya itu dapat memberikan kerjasama demi kepentingan anak-anak mereka.
“Apa yang saya minta hanyalah supaya urusan ini dipermudahkan demi anak-anak. Mereka akan mula bersekolah tidak lama lagi dan persiapan sekolah memerlukan masa. Saya hanya mahu memastikan anak-anak berada dalam keadaan selesa supaya segala keperluan persekolahan dapat disiapkan dengan baik.
“Segala maklumat berkaitan keperluan persekolahan anak-anak, saya telah memaklumkan kepada Nubhan namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada dia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Afifah Hidayah membuat laporan polis mendakwa Nubhan mengeluarkan barangan miliknya dari kediaman yang didiaminya bersama anak-anak di Seremban. Laporan polis turut membabitkan dakwaan kehilangan wang tunai dan barang kemas. – UTUSAN










