Nilai, Seremban 2 kawasan tumpuan sekolah sesak

Nilai, Seremban 2 kawasan tumpuan sekolah sesak

PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Khalidah Omar, ketika ditemui di SMK Seremban 3, pada sesi permulaan hari pertama persekolahan.-GAMBAR : MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Nilai dan Seremban 2 menjadi kawasan tumpuan utama di Negeri Sembilan yang mengalami isu kesesakan sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Khalidah Omar berkata, situasi itu berpunca daripada kemasukan murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu di sekolah sekitar Nilai dan Seremban 2 khususnya kawasan perumahan yang berhampiran sempadan dengan Selangor.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ ialah di Nilai Impian, Taman Semarak dan Taman Desa Cempaka, yang menyebabkan kepadatan murid sehingga mencecah 42 hingga 43 orang bagi satu kelas.

“Isu kesesakan ini tidak kita nafikan, namun pihak jabatan akan memberi komitmen untuk memastikan semua pelajar layak mendapat penempatan di sekolah.

“Cuma penempatan itu tidak semestinya di sekolah pilihan ibu bapa kerana kemasukan tertakluk kepada kriteria seperti lokaliti, sekolah feeder serta tempoh permohonan,” katanya kepada pemberita ketika sesi sidang akhbar Sempena Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 3, di sini, hari ini.

Khalidah berkata, terdapat juga kes melibatkan ibu bapa yang menetap di Negeri Sembilan tetapi bekerja di Selangor, menyebabkan anak-anak bersekolah rendah di negeri itu sebelum memohon kemasukan ke sekolah menengah di negeri ini.

“Keadaan ini menyumbang kepada kepadatan di sekolah-sekolah sekitar sempadan negeri, sekali gus memerlukan proses rayuan bagi penempatan pelajar,” katanya.

Khalidah berkata peningkatan kemasukan murid turut berlaku di beberapa kawasan luar bandar seperti Lenggeng dan Mantin susulan pembangunan perumahan baharu.

Tambahnya, sebuah sekolah baharu di Desa Casuarina di Nilai telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dan dijangka beroperasi pada tahun depan.

Selain itu, JPNS turut menjalinkan kerjasama dengan pemaju menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menambah bilik darjah di sekolah-sekolah sedia ada di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak empat prasekolah dalam sekolah menengah telah dibuka bagi membantu meringankan ibu bapa, khususnya isi rumah berpendapatan rendah.

Negeri Sembilan merekodkan seramai 17,455 murid Tahun Satu dan 17,632 murid Tingkatan Satu, serta 8,509 murid prasekolah memulakan sesi persekolahan hari ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×