PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri memaklumkan, pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai penglibatan warganegara Malaysia dalam insiden perlanggaran membabitkan dua buah kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol, semalam.
Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Sepanyol di Córdoba, serta pihak pengendali kereta api yang terlibat.
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan insiden ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid menerusi talian +(34) 91 555 0684 / +(34) 91 555 0737 Kecemasan: +(34) 659 89 49 43 atau E-mel: [email protected],” katanya.
Dalam insiden itu semalam, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam nahas melibatkan dua kereta api berkelajuan tinggi di selatan Sepanyol, ketika pihak berkuasa memberi amaran bahawa jumlah kematian mungkin meningkat dengan pantas, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Kejadian berlaku berhampiran Adamuz dekat bandar Cordoba, apabila sebuah kereta api berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid tergelincir ke landasan bersebelahan, demikian menurut pengendali rangkaian kereta api, Adif.
Kereta api kedua yang dalam perjalanan dari arah bertentangan, Madrid ke Huelva, turut tergelincir. – UTUSAN










