Nadia Kesuma sempat mesej bertemu individu tidak dikenali sebelum gagal dikesan - Utusan Malaysia

Nadia Kesuma sempat mesej bertemu individu tidak dikenali sebelum gagal dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon filem Syaitan Munafik, Nadia Kesuma, didakwa sempat mengirimkan pesanan terakhir kepada suaminya dengan memaklumkan bahawa dia telah bertemu seorang individu tidak dikenali sebelum gagal dikesan selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Menurut rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah, Nadia tidak mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan seterusnya ke London seperti yang dijadualkan.

“Suaminya menghubungi saya dalam keadaan bimbang. Sehingga kini, persoalannya adalah sama ada Nadia masih berada di Jeddah atau sebaliknya kerana dia memang tidak menaiki pesawat ke London.

“Dia pergi bersendirian. Pihak di Jeddah sudah membuat semakan dan mendapati namanya memang ada dalam rekod, namun dia tidak melakukan daftar masuk untuk penerbangan ke London.

“Namun sebelum itu, dia sempat menghantar mesej kepada suaminya memaklumkan bahawa dia bertemu seorang individu tidak dikenali sebelum terus terputus hubungan. Ketika ini, kedua-dua telefon bimbitnya masih menunjukkan status ‘delivered’ tetapi tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya.

Anne berkata, Nadia menggunakan perkhidmatan sebuah agensi pelancongan bagi menyertai pakej umrah khas ke Tanah Suci yang turut merangkumi lawatan ke beberapa bandar di Eropah secara bersendirian.

“Dia pergi seorang diri melalui sebuah agensi pelancongan. Pakej yang diambil adalah umrah ziarah, seperti umrah yang digabungkan dengan lawatan ke Paris dan London.

“Pakej itu melibatkan perjalanan dari Jeddah ke Makkah sebelum meneruskan perjalanan ke Paris dan London. Kini, pakej seperti ini memang menjadi pilihan ramai,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN