KUALA LUMPUR: UMNO perlu menerima hakikat bahawa angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi ‘wake up call’ atau kejutan apabila meskipun negeri itu mempunyai 622,637 ahli, tetapi undi yang diterima hanyalah 144,584 undi.
“Selaku Setiausaha Agung UMNO, pada tahun ini saya memilih untuk bercakap dengan berterus terang.
“Kita sering meraikan pertambahan angka keahlian parti sebagai petanda kekuatan. Tetapi hakikat yang mesti kita terima ialah angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.
“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita,” katanya dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini. – UTUSAN










