PETALING JAYA: Jenazah Allahyarham Nadia Kesuma selamat dikebumikan pada pukul 7.35 pagi tadi di Jeddah, sejurus selesai solat Subuh waktu tempatan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran Facebook oleh suaminya, Profesor Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, yang berkongsi rasa dukacita atas pemergian isterinya.
“Tempat persemadian baharu mu, sayang. Secara rasmi disemadikan pada pada 7.35 pagi di Dahaban New Cemetery.
“Selamat tinggal, sayang. Aku dan anak-anak akan menziarahimu semula, insya-Allah. Amin,” katanya dalam hantaran itu.
Menurutnya, pengurusan jenazah isterinya telah dilaksanakan mengikut ketetapan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Jenazah sudah dimandikan oleh anak (Sarah dan kawan arwah) dan sudah disembahyangkan, diimamkan sendiri oleh saya (di Masjid Al Thaniyan, Jeddah), Alhamdulillah,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 500 jemaah hadir menunaikan solat jenazah untuk Nadia Kesuma di Masjid Althaniyan, Jeddah.
Allahyarham yang nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50 tahun, sebelum ini dilaporkan gagal dikesan pada Khamis lalu, ketika dalam penerbangan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pada 8.07 pagi waktu tempatan hari yang sama.– UTUSAN










