MyIPO anjur pertandingan simulasi perbicaraan berkaitan harta intelek

MyIPO anjur pertandingan simulasi perbicaraan berkaitan harta intelek

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan menganjurkan National IP Law Moot Competition 2026 iaitu satu pertandingan simulasi perbicaraan mahkamah (mooting) peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan dan akan berlangsung selama lima bulan bermula Mac ini.

Pertandingan ini diperkenalkan bagi melahirkan graduan undang-undang yang kompeten serta berupaya mengupas dan membahaskan isu-isu undang-undang harta intelek yang kompleks, termasuk yang berkaitan dengan industri sukan negara, khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dengan tema “IP & Sports”, pertandingan ini mengetengahkan aplikasi undang-undang harta intelek dalam industri sukan, merangkumi isu berkaitan hak cipta, cap dagangan, hak penyiaran dan pengkomersialan, sejajar dengan perkembangan pesat sektor sukan sebagai pemacu ekonomi kreatif dan komersial negara.

Pertandingan ini bakal menghimpunkan pelajar undang-undang dari universiti awam dan swasta dari seluruh negara bagi mengasah kemahiran advokasi, penyelidikan dan analisis undang-undang serta keupayaan penghujahan lisan, melalui pengendalian isu-isu harta intelek yang realistik, kontemporari dan relevan dengan ekosistem industri sukan semasa.

Pertandingan ini akan dimulakan dengan pusingan penyerahan memorial bertulis, diikuti pusingan hujahan lisan sebelum kemuncaknya di pusingan akhir pada bulan Julai yang akan diadili oleh panel hakim terdiri daripada ahli akademik, pengamal undang-undang serta pakar harta intelek.

Sepanjang pertandingan, para peserta akan diuji dari segi keupayaan berhujah dan berfikir secara kritikal dalam membincangkan isu-isu harta intelek berasaskan situasi dunia sebenar, serta dinilai berdasarkan kekuatan analisis undang-undang, teknik penghujahan dan tahap kefahaman terhadap prinsip undang-undang harta intelek.

Pasukan yang dinobatkan sebagai juara pada pusingan akhir akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta piala, selain berpeluang mewakili Malaysia ke WIPO IP Moot Court Competition di Geneva, Switzerland pada tahun 2027. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi MyIPO.

Majlis pelancaran pertandingan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Riduan Rubin,sempena Majlis Perhimpunan Bulanan yang berlangsung hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN