IPOH: Ketua Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak membangkitkan persoalan berhubung keikhlasan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membincangkan mengenai krisis dalam Perikatan Nasional (PN) dengan rakan komponen khususnya Pas.
Menurutnya, ini berikutan laporan media, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengeluarkan surat bertarikh 27 Januari lalu yang menyatakan Bersatu dan Pas bersetuju untuk memansuhkan Jawatan Pengerusi PN.
Beliau berkata, bagaimanapun berdasarkan pertemuan rasmi antara kepimpinan Bersatu dan Pas pada 16 Januari lalu, perkara berkaitan pemansuhan Jawatan Pengerusi PN tidak pernah dibincangkan, apatah lagi dipersetujui bersama oleh Pas dalam pertemuan tersebut.
Katanya, kenyataan itu jelas bercanggah dengan fakta sebenar perbincangan yang berlaku serta mengelirukan ahli dan pendukung PN.
“Susulan daripada kenyataan tersebut, Pas telah mengeluarkan surat rasmi balasan daripada Presiden Pas bertarikh 28 Januari 2026, yang secara jelas menafikan dakwaan tersebut serta menegaskan bahawa perkara itu tidak pernah dipersetujui oleh Pas.
“Ini menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengadakan perbincangan dengan rakan komponen, khususnya Pas.
“Tindakan mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan realiti perbincangan sebenar bukan sahaja mengelirukan, malah boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk penipuan terhadap rakan sekutu politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, semangat setiakawan dan kepercayaan perlu menjadi asas kepada pembentukkan PN sebagai sebuah gabungan politik.
Beliau berkata, hubungan dalam PN mesti dibina atas asas kejujuran, ketelusan dan saling menghormati.
Katanya, sebarang keputusan strategik melibatkan struktur dan kepimpinan PN wajib dibuat melalui perbincangan rasmi dan persetujuan bersama semua parti komponen.
“Tindakan unilateral dan kenyataan yang bercanggah dengan fakta perbincangan sebenar hanya akan melemahkan kepercayaan, merosakkan perpaduan dan menjejaskan kestabilan gabungan.
“Saya menggesa agar kepimpinan tertinggi PN mengambil serius isu ini dan melakukan penjelasan terbuka kepada semua pihak demi menjaga keutuhan, integriti dan masa depan PN sebagai sebuah gabungan politik yang diyakini rakyat,” katanya. – UTUSAN










