MP Temerloh kena ‘serang’ ekoran isu UEC

MP Temerloh kena ‘serang’ ekoran isu UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd. Nor, diasak bertubi-tubi oleh beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) susulan kenyataannya berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Dalam perbahasannya, Salamiah menegaskan isu UEC bukan isu perkauman, sebaliknya berkait rapat dengan dasar pendidikan kebangsaan serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Beliau berkata, jumlah pelajar UEC dianggarkan sekitar 90,000 orang, mewakili kira-kira 20 peratus pelajar Cina di peringkat menengah.

“Hampir 100 peratus silibus UEC diajar bukan dalam Bahasa Melayu dan tidak mempunyai kandungan sejarah Malaysia. Namun, wujud desakan supaya sijil ini diiktiraf dan diterima bagi kemasukan ke sektor awam,” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi beberapa Ahli Parlimen PH, termasuk Teresa Kok (Seputeh-PH) yang bangkit meminta penjelasan lanjut. Teresa, yang juga lepasan UEC, menjemput Salamiah melawat sekolah yang menawarkan peperiksaan tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar.

R. N. Rayer (Jelutong-PH) turut bangun dan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(12), mendakwa kenyataan Salamiah mengelirukan Dewan, khususnya mengenai tahap penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar UEC.

“Pelajar UEC mahir dalam Bahasa Malaysia, lulus subjek Sejarah dan kebanyakannya menunjukkan prestasi cemerlang dalam kedua-dua mata pelajaran berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, perbahasan itu memberi gambaran seolah-olah pelajar UEC tidak fasih berbahasa Malaysia dan tidak cemerlang dalam Sejarah.

Dalam perkembangan sama, Datuk Radzi Jidin (Putrajaya-PN) bangun mempertahankan Salamiah dan meminta Dewan memberi ruang kepadanya menghabiskan perbahasan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menasihatkan Salamiah supaya menyusun hujah dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kekeliruan.

“Dalam berucap, elakkan kenyataan berbentuk soalan. Gunakan ayat seperti ‘adakah benar’ supaya tidak timbul masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN