PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengadakan mesyuarat luar biasa pada Khamis ini bagi tujuan melantik pengerusi baharu ekoran keputusan Pengerusi Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebelum ini.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu notis berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi PN itu akan berlangsung pada pukul 8.30 malam di ibu pejabat Parti Gerakan di Cheras.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan diadakan selepas surat permohonan daripada Presiden Gerakan dan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, masing-masing bertarikh 7 dan 10 Januari.
“Mesyuarat dipanggil selaras dengan perlembagaan PN, yang membenarkan Majlis Tertinggi (MT) bersidang atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya separuh daripada parti komponen gabungan,” katanya
Beliau berkata, mesyuarat itu juga diadakan untuk memilih pengerusi mesyuarat daripada kalangan timbalan pengerusi PN, sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 8.3(II)(b) perlembagaan gabungan berkenaan selain mengesahkan perletakkan jawatan Muhyiddin.
Pada 1 Januari lalu, Muhyiddin membuat keputusan meletakkan jawatan dengan disahkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – UTUSAN









