KUALA LUMPUR: Status sebagai isteri kepada kerabat diraja boleh menjadi cabaran buat pelakon untuk terus kekal aktif dalam industri seni apabila ada pihak menganggap mereka terlalu eksklusif, sekali gus mewujudkan jurang dengan rakan industri.
Perkara itu turut dirasai pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim, 48, yang mengakui situasi tersebut menjadi antara punca berkurangnya tawaran lakonan selepas mendirikan rumah tangga, selari dengan luahan jujur Toh Puan Syamim Freida sebelum ini.
Bagaimanapun, Sarimah berpandangan, persepsi tersebut perlu diperbetulkan oleh pelakon sendiri dengan mengekalkan sikap ramah, mudah didekati dan merendah diri, sama ada dalam kalangan warga industri mahupun peminat.
“Selalu orang takut untuk mendekati saya. Saya sendiri rasa pelik kerana sebelum ini saya bermula sebagai pengacara kanak-kanak. Namun selepas berkahwin, persepsi orang kadang-kadang lebih kuat daripada realiti.
“Persepsi itulah yang perlu kita ubah dengan bersikap terbuka dan berjumpa orang. Biar mereka tahu kita sama sahaja seperti orang lain.
“Kami orang Johor, tidak pernah ada istilah menunjuk atau sombong. Kita perlu rileks, cuma memang sukar untuk mengatasi tanggapan sesetengah pihak,” katanya.
Sarimah ditemui pada majlis pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! di TGV Cinema, Suria KLCC, baru-baru ini.
Menurut pelakon itu, selain pertemuan secara bersemuka, pengurusan imej di media sosial juga memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap seseorang selebriti.
“Cara kita membawa diri di media sosial, gambar yang dimuat naik dan perkongsian yang dibuat ibarat sebuah papan iklan.
“Ada kalanya apa yang kita kongsikan membuatkan orang rasa jauh dengan kita. Saya sendiri kadang-kadang berfikir panjang sebelum memuat naik sesuatu, namun akhirnya saya sedar itu memang diri saya dan tidak salah untuk jadi diri sendiri,” jelasnya.
Pelakon filem Riot! itu turut menegaskan pentingnya untuk berhati-hati dalam berkongsi kandungan yang memaparkan kemewahan bagi menjaga sensitiviti orang lain.
“Saya tidak gemar menunjuk-nunjuk di media sosial, termasuk berkongsi hadiah atau barangan mewah kerana saya sedar ada orang di luar sana yang melihat dan mungkin teringin, lalu berasa sedih.
“Sebab itu saya lebih selesa berkongsi perkara normal dan mengekalkan hubungan rapat dengan rakan industri seperti pengarah dan penerbit. Walaupun status berubah, persahabatan itu perlu dijaga.
“Kita kena sentiasa berhubung, bertanya khabar, jangan sombong atau malu. Rezeki datang apabila kita berani membuka ruang dan tidak hanya menunggu,” katanya.
Terdahulu, Syamim Freida yang juga isteri kepada kerabat diraja Selangor, mengakui berdepan cabaran untuk menempatkan diri sebagai selebriti apabila ada pihak berasa segan untuk mendekatinya selepas bergelar isteri orang kenamaan. – UTUSAN










