KUALA LUMPUR: MCA tidak mempunyai niat untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) setelah mereka merupakan salah satu parti pengasas gabungan itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA sebagai salah satu parti pengasas BN tidak pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan gabungan itu dan akan terus bekerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Bagi MCA, kami adalah parti pengasas BN. Jadi soal (tinggalkan BN) itu tidak timbul,” katanya kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perpaduan dalam UMNO perlu diperkukuhkan terutamanya kalangan parti gabungan bagi memastikan kekuatan dan kestabilan BN terus terjamin.
“Sebagai parti komponen, kami bersedia menyokong sebarang usaha untuk memperkukuh parti masing-masing. Pada akhirnya, usaha ini akan diterjemahkan kepada kekuatan keseluruhan BN.
“Usaha untuk membina keyakinan kembali serta menerima semula ahli-ahli yang pernah meninggalkan parti merupakan langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan BN secara menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengajak parti-parti komponen termasuk MCA dan MIC kembali merapatkan saf di bawah payung besar BN.
Katanya, perbezaan pandangan dan rasa kecewa adalah lumrah dalam perjuangan politik, namun tidak seharusnya berpanjangan sehingga melemahkan kekuatan parti. – UTUSAN









