PARIT: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah rumah yang berkunci di Persiaran Pekeliling Iskandar 10, Seksyen 8, Seri Iskandar di sini hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 60 tahun itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang dapur oleh anggota bomba yang membantu membuka pintu rumah berkenaan
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.20 petang untuk bantuan membuka pintu rumah yang berkunci.
Katanya, setibanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar di lokasi, mereka dimaklumkan terdapat seorang mangsa berada di dalam rumah.
“Ketua operasi kemudian mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu.
“Setelah pintu berjaya dibuka, didapati seorang lelaki ditemui di bahagian dapur dalam keadaan terlentang. Pemeriksaan oleh petugas kesihatan mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, setelah siasatan oleh pihak polis, anggota bomba membantu mengangkat mayat mangsa dan menyerahkannya kepada pasukan keselamatan itu untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang disertai sembilan anggota BBP Seri Iskandar itu tamat pada pukul 4 petang,” katanya. – UTUSAN










