KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersyukur selepas melalui proses perundangan membabitkan 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi, sambil menegaskan bahawa masa akhirnya membuktikan kebenaran.
Beliau berkata, segala tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan sebelum ini kini terjawab.
“Syukur Alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.
AGC berkata, keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.-UTUSAN










