PETALING JAYA: Tiga stesen janakuasa gas milik Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dengan kapasiti agregat sebanyak 2,082 megawatt (MW) dipilih untuk meneruskan operasi sehingga 31 Disember 2029, susulan pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga.
Ia melibatkan stesen janakuasa yang dikendalikan oleh anak syarikat Malakoff, merangkumi dua stesen janakuasa di Lumut, Perak, iaitu stesen janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 1,303MW milik Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV) dan stesen janakuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka (OCGT) berkapasiti 429MW milik GB3 Sdn. Bhd. (GB3).
Selain itu, pelanjutan turut diberikan untuk stesen janakuasa CCGT Prai berkapasiti 350MW di Pulau Pinang yang dimiliki oleh Prai Power Sdn. Bhd. (PPSB).
Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu akan dimeterai dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi setiap stesen janakuasa, membolehkan Malakoff menjana dan membekalkan kapasiti tenaga elektrik yang diperlukan sepanjang tempoh pelanjutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, pelanjutan itu merupakan satu keperluan serta mencerminkan pendekatan yang praktikal dan bertanggungjawab dalam memenuhi keperluan tenaga Malaysia.
Ujarnya, ia membolehkan stesen-stesen janakuasa berkenaan terus membekalkan tenaga elektrik kepada grid nasional, sekali gus menyokong keperluan tenaga negara berikutan permintaan yang berterusan serta peralihan landskap tenaga.
“Stesen-stesen janakuasa ini telah menyokong grid nasional dengan rekod prestasi yang konsisten selama bertahun-tahun.
“Pelanjutan operasi ini membolehkan kemudahan penjanaan gas yang terbukti berkeupayaan untuk terus menyumbang kapasiti yang dipercayai dan fleksibel.
“Ini terutamanya ketika permintaan tenaga berada pada tahap yang tinggi, sekali gus menyokong keterjaminan tenaga negara di samping memanfaatkan infrastruktur sedia ada secara keberkesanan kos,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dari sudut lain, stesen-stesen janakuasa itu menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah berbanding sumber bahan api fosil yang lain.
Menurutnya, kumpulan bukan sahaja memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan berterusan kepada grid, malah secara aktif mengurangkan jejak karbon dengan memanfaatkan gas asli sebagai bahan api peralihan.
“Ini sekali gus membolehkan stesen-stesen janakuasa ini kekal relevan seiring evolusi campuran tenaga negara.
“Stesen janakuasa CCGT dan OCGT seperti ini terus memainkan peranan penting sepanjang tempoh peralihan tenaga dengan menyediakan penjanaan yang cekap dan responsif.
“Operasi berterusan stesen-stesen janakuasa ini mencerminkan piawaian konsisten yang telah diterapkan dalam operasi dan penyelenggaraannya selama bertahun-tahun.
“Pelanjutan ini juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Malakoff sepanjang tempoh lanjutan, sekali gus menggariskan nilai jangka panjang pengurusan aset yang berdisiplin,” ujarnya. – UTUSAN









