IPOH: Pembangunan Gua Tempurung merupakan antara pemacu sektor pelancongan yang signifikan terutama limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri melihat sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi pengalaman yang mampu menjana nilai tambah berterusan kepada negeri dan komuniti setempat.
“Pembangunan pelancongan di Perak dilaksanakan secara berfasa dan bersepadu melalui kerjasama pelbagai pihak, dengan penekanan kepada kelestarian, keselamatan serta penglibatan komuniti tempatan.
“Inisiatif pembangunan Gua Tempurung selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, di samping membuka peluang kepada usahawan tempatan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menyertai rantaian nilai pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikia pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsensi Eko-Pelancongan Gua Tempurung Antara MajuPerak Holdings Berhad (MHB) dan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Muhammad Yazurin Sallij dan Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias.
Perjanjian konsesi selama 21 tahun itu melibatkan kawasan seluas 32.18 hektar tersebut akan dilaksanakan secara berfasa dengan tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan awam, infrastruktur serta pengurusan destinasi yang lebih sistematik, selamat dan mampan.
Pembangunan Gua Tempurung bakal menawarkan pengalaman baharu dalam penginapan berkonsepkan alam semula jadi, aktiviti rekreasi dan lasak, di samping memperkukuh tarikan sedia ada yang tertakluk kepada kelulusan dan pematuhan piawaian keselamatan pihak berkuasa berkaitan.
Pengalaman lawatan ke gua tersebut akan dipertingkatkan melalui elemen interpretasi dan visual interaktif seperti paparan infografik serta pencahayaan selaras dengan pendekatan pembangunan terkawal yang menitikberatkan aspek pemeliharaan alam sekitar. – UTUSAN










