SHAH ALAM: Da’i Syed kembali ke penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak rayuannya berhubung hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas sabitan terhadap pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas meneliti hujahan kedua-dua perayu dan pendakwaan dalam permohonan rayuan sabitan dan hukuman terhadap pendakwah selebriti itu atau nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31.
Mahkamah kemudian memutuskan sabitan kesalahan terhadap tertuduh kekal dan hukuman yang dikenakan sebelum ini bermula serta-merta tanpa penggantungan.
Terdahulu, Hakim Adlin dalam penghakimannya memberitahu, tiada sebarang penafian oleh tertuduh atau mangsa bahawa hubungan seks berlaku di antara mereka pada 11 September 2019.
“Perkara yang menjadi pertikaian adalah sama ada hubungan seks di antara tertuduh berlaku secara paksaan atau tanpa kerelaan mangsa.
“Merujuk keadaan yang mana berlaku persetubuhan berlaku bertentangan dengan kemahuan atau tanpa kerelaan seseorang perempuan. Kes yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah jelas iaitu persetubuhan di antara tertuduh dan mangsa berlaku tanpa kerelaan,” katanya.
Da’i Syed pada 30 Ogos 2024 dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah merogol seorang wanita dekat sebuah kondominium pada 2019.
Hakim Adlin turut menyatakan berdasarkan naratif kronologi kes dikemukakan oleh pihak perayu apabila menyebut kegagalan mangsa melarikan diri sebagai tindak balas untuk menyelamatkan diri tidak membuktikan ia berlaku tanpa paksaan.
“Mahkamah juga mendapati mesej-mesej yang ditukar (antara Da’i Syed dan mangsa) menunjukkan mangsa bukanlah seorang kekasih yang terperdaya, tetapi mangsa rogol yang cuba mendapatkan penyelesaian terhadap masalah dihadapi.
“Hakim Mahkamah Sesyen mendapati pembelaan tertuduh pada dasarnya bersifat penafian dan terdapat percanggahan dalam keterangan diberikan oleh tertuduh,” ujarnya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan pada 10 April 2023.-UTUSAN










