KUALA LUMPUR: Masih ramai mahasiswa takut untuk terlibat dalam politik kerana bimbang dilabel, dihukum dan disalah erti, selain tanggapan bahawa politik adalah sesuatu yang kotor serta tidak menjamin masa depan.
Wakil UMNO Siswa, Siti Nur Amalin Aisyah Mohd. Khir berkata, persepsi tersebut menyebabkan golongan mahasiswa memilih untuk menjauhkan diri daripada politik, sedangkan realitinya politik menjadi kotor apabila orang baik enggan tampil mengambil peranan.
“Jika mahasiswa memilih untuk berdiam diri maka ruang akan diisi oleh mereka tidak yang berprinsip. Mahasiswa yang berani tidak kehadapan maka ia akan dipandu oleh suara yang dangkal.
“Politik itu menjadi kotor apabila orang baik menjauhkan diri. Jika mahasiswa memilih untuk berdiam diri, ruang itu akan diisi oleh mereka yang tidak berprinsip,” katanya ketika sesi perbahasan Pergerakan Puteri UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU25), di sini, hari ini.
Menurut beliau, mahasiswa tidak boleh lagi berada dalam zon selesa dengan hanya mengkritik tanpa berani menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi masyarakat.
“Mahasiswa tidak boleh hanya bersuara apabila ditekan, tetapi berdiam diri apabila diberi peluang untuk terlibat dan membuat perubahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru mahasiswa agar bangkit memainkan peranan sebagai agen perubahan, bukan sekadar menjadi mangsa keadaan atau pemerhati pasif dalam landskap politik negara.
“Ini adalah masanya untuk mahasiswa bangkit dan mengambil tanggungjawab demi masa depan negara,” katanya.-UTUSAN










