MAA unjur TIV susut kepada 790,000 unit tahun ini - Utusan Malaysia

MAA unjur TIV susut kepada 790,000 unit tahun ini

MOHD. Shamsor Mohd. Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengambil pendekatan berhati-hati bagi prospek automotif tahun ini dengan mengunjurkan Jumlah Volum Industri (TIV) 2026 menyusut sebanyak 3.8 peratus kepada 790,000 unit.

Unjuran itu dibuat selepas industri automotif negara melakar sejarah baharu pada 2025 apabila merekodkan TIV tertinggi pernah dicatatkan iaitu sebanyak 820,752 unit.

Presiden MAA, Mohd. Shamsor Mohd. Zain berkata, ramalan penurunan bagi 2026 itu mengambil kira pelbagai faktor ekonomi global dan domestik, termasuk jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih sederhana antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

Ujarnya, walaupun momentum pasaran kekal ada, ketidaktentuan geopolitik dunia serta kebimbangan terhadap kos sara hidup yang meningkat mungkin memberi kesan kepada sentimen pengguna.

“Bagi tahun ini, kami menjangkakan segmen kenderaan penumpang akan mencatatkan jualan sebanyak 730,000 unit, penurunan 3.8 peratus berbanding 759,098 unit yang dicapai tahun lalu.

“Bagi segmen kenderaan perdagangan, unjuran ditetapkan pada 60,000 unit, susut 2.7 peratus berbanding 61,654 unit pada 2025,” katanya dalam sidang media pengumuman prestasi pasaran automotif 2025 di sini, semalam.

Mengulas mengenai prestasi 2025, Mohd. Shamsor berkata, tahun tersebut merupakan tahun yang luar biasa apabila TIV melepasi paras 800,000 unit buat tahun kedua berturut-turut.

Jualan keseluruhan 2025 meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding 816,747 unit pada 2024, dipacu oleh jualan kukuh pada suku keempat yang merekodkan angka tertinggi dalam sejarah suku tahunan.

“Kejayaan 2025 disokong oleh pasaran buruh yang stabil dengan kadar pengangguran terendah pada 2.9 peratus serta kadar dasar semalaman (OPR) yang kondusif pada 2.75 peratus, sekali gus memudahkan urusan pinjaman kenderaan.

“Jenama nasional terus mengukuhkan kedudukan dengan menguasai 62.3 peratus pasaran, dibantu oleh tunggakan tempahan yang tinggi serta pelancaran model-model mampu milik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tamatnya insentif cukai bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) serta potensi perubahan struktur harga mungkin mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.

Katanya, pengenalan model-model baharu yang menarik serta strategi promosi pengeluar akan terus merancakkan pasaran.

“Penganjuran Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 yang dijadualkan pada Jun depan juga dijangka menjadi pemangkin kepada minat orang ramai terhadap model terkini dan teknologi hijau,” katanya.

Tahun lalu, segmen kenderaan elektrik (xEV) yang merangkumi hibrid dan elektrik bateri (BEV) mencatatkan lonjakan memberangsangkan dengan jumlah jualan 69,363 unit, peningkatan 52 peratus berbanding 2024. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN