LKIM tumpu usaha perkasa sektor akuakultur dalam kalangan PNK

LKIM tumpu usaha perkasa sektor akuakultur dalam kalangan PNK

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tiga dari kanan) ketika menyerahkan sumbangan berupa peralatan menangkap ikan kepada nelayan di PNK Ujong Batu, Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menumpukan usaha untuk memperkasa sektor akuakultur dalam kalangan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) susulan penyusutan sumber ikan laut serta tekanan pembangunan yang dihadapi di beberapa kawasan pesisir pantai ketika ini.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, akuakultur kini boleh dianggap sebagai bidang utama dalam dunia perikanan moden, khususnya bagi nelayan pesisir pantai yang semakin terjejas akibat kekangan sumber serta ketiadaan lesen khas untuk menangkap ikan.

Beliau berkata, oleh itu, setiap PNK diharap dapat bergiat aktif dalam mengusahakan bidang akuakultur ini bagi membolehkan mereka membina sebuah entiti perniagaan yang berdaya maju sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat.

“Kalau boleh, kita nak tunjukkan bahawa persatuan-persatuan nelayan ini ialah satu persatuan kumpulan pekerjaan yang mampu untuk bergerak, berdikari, memantapkan kekuatan ekonomi mereka sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Ujong Batu yang turut dihadiri oleh Pengarah LKIM Pulau Pinang, Noor Azlida Mohad Khazin serta Pengerusi PNK Ujong Batu, Alias Othman.

Pada majlis itu, seramai 31 nelayan yang bernaung di bawah PNK Ujong Batu menerima sumbangan berupa peralatan menangkap ikan di bawah inisiatif ‘touch point’ yang diperkenalkan oleh LKIM sebelum ini.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 20 daripada lebih 90 PNK berdaftar di seluruh negara yang aktif dalam pelbagai bidang akuakultur dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 13 PNK sahaja yang berbuat demikian kira-kira dua tahun yang lalu.

Katanya, antara projek akuakultur yang diusahakan termasuk ternakan udang dan kerang selain penglibatan dalam sektor hiliran seperti pemprosesan ikan dan pengoperasian restoran berasaskan makanan laut.

“Untuk pengetahuan, LKIM juga kini sedang merangka satu program latihan akuakultur membabitkan nelayan di Pantai Merdeka, Kedah serta Pahang, dengan kerjasama syarikat swasta yang berpengalaman sebagai ‘anchor player’ bagi membimbing nelayan secara langsung dalam projek berkenaan.,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN