Lelaki warga Indonesia dikhuatiri lemas di Sungai Perak - Utusan Malaysia

Lelaki warga Indonesia dikhuatiri lemas di Sungai Perak

OPERASI mencari dan menyelamat seorang lelaki warga Indonesia yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Perak dekat Kampung Bekut, Sungai Siput sejak Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti menembak ikan di Sungai Perak berhampiran Kampung Bekut di sini, sejak Selasa lalu.

Mangsa dikenali sebagai Bujang berusia 48 tahun itu disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah sehingga keesokkan harinya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, sebelum hilang, mangsa bersama rakannya berada di sungai berkenaan untuk menembak ikan.

Katanya, mangsa kemudian memaklumkan kepada rakannya bahawa dia ingin mengikuti kawannya yang lain dan meminta lelaki itu pulang ke rumah terlebih dahulu.

“Rakan mangsa ada melihat sebuah bot melalui kawasan tersebut namun tidak pasti sama ada lelaki itu menaiki bot tersebut atau sebaliknya.

“Dia yang naik ke tebing sungai juga mendapati terdapat peralatan menembak ikan mangsa berada di atas rumput dan telah mengambilnya untuk dibawa pulang ke rumah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kehilangan mangsa hanya disedari pada keesokan hari apabila isteri mangsa menghubungi lelaki berkenaan dan memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan selepas laporan polis dibuat pada pukul 1.13 pagi, semalam melibatkan pasukan polis, bomba, APM dan PBS.

“Tujuh buah bot digunakan dalam operasi yang dijalankan semalam, dibantu satu unit dron milik APM dengan radius pencarian sejauh 5.27 kilometer di sepanjang Sungai Perak,” katanya.

Tambah beliau, operasi yang disambung hari ini masih belum menemukan mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN