IPOH: Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kelar di leher dalam sebuah kereta di kawasan parkir di sebuah pusat membeli-belah di Station 18 di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 57 tahun itu ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 12.53 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Pasir Puteh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah ke lokasi kejadian dan menemui mangsa di bahagian penumpang dengan kesan luka di leher
“Penolong pegawai perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian lelaki itu.
“Berdasarkan hasil bedah siasat, punca kematian lelaki itu adalah disebabkan oleh kesan kelar di bahagian leher,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan rakaman percakapan keluarga si mati, lelaki itu mengalami kemurungan sejak enam bulan lalu disebabkan oleh masalah kesihatan.
“Berdasarkan siasatan lanjut, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN










