Kucing liar kembali ke hutan Eropah

Kucing liar kembali ke hutan Eropah

JURUGAMBAR memasang kamera perangkap khas untuk menjejak kelibat kucing liar di Pergunungan Doupov, Republik Czech. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Spesies kucing liar  Felis silvestris sangat sukar dilihat sehingga pernah dianggap pupus di beberapa bahagian Eropah namun, kini ia mula kembali di beberapa kawasan dan jurugambar serta saintis berjaya merakam aksi ‘comel’ haiwan tersebut yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Pada tahun 2020, jurugambar hidupan liar, Vladimír Čech Jr berjalan melalui salji di zon tentera di Pergunungan Doupov, kawasan terpencil dan berbukit di Republik Czech.

Matlamatnya untuk merakam gambar kucing liar Eropah, spesies yang begitu sukar dilihat sehingga pernah dianggap tidak lagi wujud di beberapa kawasan di benua itu.

“Kucing liar ini adalah makhluk jarang yang menjalani kehidupan penuh teka-teki,” kata Čech mengenai kucing liar ini, yang kelihatan seperti versi kucing peliharaan berbulu tebal dan ekor lebat, dengan corak tersendiri.

Dahulu dianggap ‘hilang’ dari Republik Czech pada abad ke-20, kucing liar bagaimanapun mula didokumentasikan di Pergunungan Doupov pada akhir 2010-an melalui kamera perangkap mudah tetapi tiada siapa pernah merakam gambar berkualiti tinggi kelibatnya di kawasan itu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saintis dan jurugambar menggunakan kamera perangkap turut menemui kucing liar di bahagian lain Eropah, di mana sifatnya yang pemalu mungkin membolehkan haiwan ini terus hidup secara rahsia walaupun diburu, berbeza dengan spesies liar lain seperti lynx.

Bagi Čech, jurugambar yang beroperasi di zon tentera terpencil di Czech, merakam gambar kucing liar juga memerlukan keberanian dan kepintaran.

Dianggarkan masih terdapat kira-kira 140,000 kucing liar Eropah yang tersebar di lebih 24 negara.

“Kucing liar digelar ‘hantu hutan’ kerana ia sangat pemalu dan sukar diramalkan di mana ia boleh ditemui.

“Haiwan lain cenderung mengikuti laluan yang sama melalui hutan. Tetapi kucing liar bergerak ke mana sahaja ia mahu dan sukar diramal,” kata seorang ahli biologi dan jurugambar hidupan liar Itali, Andrea De Giovanni yang berjaya merakam video spesies itu di Chiapporato, sebuah kampung tanpa penghuni di Pergunungan Apennine pada 2020.

Kampung Chiapporato yang sudah kosong dan terbengkalai itu adalah tempat yang misteri, hanya boleh dicapai dengan berjalan kaki.

Menurut Ahli Zoologi Institut Biologi Vertebrata Akademi Sains Czech, Jarmila Krojerová, kucing liar pernah tersebar di seluruh wilayah yang kini dikenali sebagai Republik Czech, sekurang-kurangnya sehingga abad ke-18.

Namun disebabkan pemburuan secara intensif dan perubahan landskap, haiwan ini perlahan-lahan hilang dari dataran rendah dan kawasan berbukit.

“Kucing liar boleh dikenalpasti sama ada melalui genotip unik mereka atau corak bulu mereka.

“Sifat rahsia kucing liar Eropah menjadikannya sukar dikaji. Selain itu, persamaannya dengan spesies kucing tabby sering menyebabkan kesilapan identifikasi atau spesies ini diabaikan sepenuhnya,” katanya kepada BBC.

Di Itali, pakar kucing liar dan Pengarah Muzium Sejarah Semula Jadi Maremma di Grosseto, Andrea Sforzi mengendalikan pangkalan data yang mengumpulkan sekitar 1,600 foto dan video kucing liar yang disumbangkan oleh saintis, jurugambar dan orang awam.

“Di beberapa kawasan di Itali, spesies ini semakin berkembang seperti di kawasan utara Pergunungan Apennine.

“Secara sejarah, kucing liar dan pemangsa lain diburu di Itali, tetapi bermula pada akhir abad ke-20, undang-undang pemuliharaan melindungi spesies ini dan membantu pemulihannya,” jelas beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN