KPKT sedia peruntukan RM40 juta turap jalan PBT di Perak - Utusan Malaysia

KPKT sedia peruntukan RM40 juta turap jalan PBT di Perak

NGA Kor Ming (tengah) ketika melawat Pasar Awam Kampung Tawas di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM40 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak bagi melaksanakan kerja-kerja penurapan semula hampir 800 jalan di kawasan perumahan di seluruh negeri.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu merangkumi tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta yang sebelum ini disalurkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi kerja-kerja penurapan melibatkan 400 jalan di sekitar Ipoh.

“Sebelum ini saya telah mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM20 juta kepada MBI iaitu peruntukan terbesar bagi kerja-kerja penurapan jalan di kawasan perumahan.

“Hari ini, KPKT menambah lagi RM20 juta, dan kali ini manfaatnya bukan sahaja untuk warga Ipoh tetapi turut dinikmati seluruh rakyat Perak, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM40 juta,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Bandar Baru Medan Ipoh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Pengerusi Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choi dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Menurut Kor Ming, peruntukan tambahan RM20 juta itu akan disalurkan kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang menerima RM5 juta, Majlis Perbandaran Teluk Intan (RM3.08 juta) dan Majlis Perbandaran Taiping (RM3.1 juta) manakala selebihnya diagihkan kepada majlis daerah dan PBT lain.

Beliau berkata, kerja-kerja penurapan semula jalan itu akan dilaksanakan bermula hari ini dan dijangka siap sepenuhnya sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“KPKT diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjaga jalan di kawasan-kawasan perumahan. Jadi, berita ini amat memberangsangkan untuk rakyat di Perak.

“Dijangka, satu jalan di kawasan perumahan menelan kos sebanyak RM50,000 dan dengan peruntukan sebanyak RM40 juta ini, kita akan mampu menurap semula hampir 800 jalan di kawasan-kawasan perumahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerja penurapan semula semua jalan di kawasan Bandar Baru Medan Ipoh yang melibatkan jarak kira-kira 3.2 kilometer telah siap sepenuhnya dengan kos hampir RM1.9 juta hasil kerjasama KPKT dan MBI. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN