Konsert Pentas RadjaWali: kelewatan kerana menghormati waktu Isyak - Utusan Malaysia

Konsert Pentas RadjaWali: kelewatan kerana menghormati waktu Isyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjur, Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) tampil menjelaskan kelewatan Konsert Pentas RadjaWali yang berlaku semalam bukan perkara yang disengajaan.

Syarikat berkenaan dalam kenyataan memaklumkan, sebaliknya keputusan itu dibuat untuk menghormati waktu solat Isyak memandangkan lokasi konsert yang dikelilingi kawasan kediaman dan masjid.

​”Kami tidak mahu memulakan konsert ketika azan sedang berkumandang atau ketika jemaah sedang bersolat. Waktu Isyak masuk sekitar pukul 8:30 malam dan selesai solat kira-kira 8:40 malam.

​”Atas sebab itu, kami mengambil keputusan memulakan acara pada pukul 8:50 malam. Ia bukan kelewatan yang disengajakan, tetapi satu bentuk penghormatan kepada sensitiviti agama dan masyarakat setempat,” katanya.

Suasana Konsert Pentas RadjaWali yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya semalam bertukar tegang berikutan kelewatan dua kumpulan gergasi Indonesia itu memulakan persembahan. Penonton, pada masa yang sama meluahkan rasa kecewa apabila konsert tersebut ditamatkan awal.

Mengulas tentang penutupan sistem bunyi yang dibuat secara tiba-tiba, penganjur memaklumkan pihaknya telah melakukan rundingan dengan wakil pemilik premis Idea Live Arena dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berada di lokasi untuk memberi peluang Wali Band menyampaikan lagu terakhir buat peminat.

“Kami mengakui permit hiburan dewan tertutup sah sehingga pukul 1 pagi, manakala permit venue hanya sah sehingga pukul 12:00 tengah malam, tetapi persembahan mendapat kebenaran dilanjutkan atas persepakatan bersama.

“Jadi, kami telah memohon kelonggaran masa sehingga pukul 12:30 tengah malam bagi membolehkan Wali Band menamatkan persembahan dengan sempurna.

​”Malah kami sedia menanggung segala risiko dan memberitahu pihak pemilik lokasi acara yang kami sanggup kehilangan deposit RM20,000 atau didenda, asalkan peminat berpuas hati dan konsert ditamatkan dengan baik. Keutamaan kami adalah kepuasan peminat, bukan wang ringgit.

“Bagaimanapun pihak pengurusan Idea Live Arena enggan bertolak ansur dan meminta surat kebenaran bertulis beserta cop rasmi MBPJ pada waktu kejadian.

“Ia satu permintaan yang mustahil dipenuhi pada tengah malam begini. Namun kami terus berbincang untuk memberi peluang kepada Wali Band menyampaikan lagu terakhir sebelum menutup pentas,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya berjaya mencapai satu persetujuan lisan bersama wakil venue pada pukul 11:55 malam untuk membenarkan lagu akhir didendangkan sebelum acara ditamatkan.

​”Kami sudah mendapat persetujuan wakil venue untuk satu lagu terakhir. Saya sendiri naik ke pentas untuk memaklumkan kepada vokalis Wali Band agar mengumumkan lagu seterusnya adalah lagu terakhir sebelum penutup.

​”Malangnya, sebaik sahaja lagu yang sedang dimainkan tamat, pihak venue terus mematikan sistem bunyi (PA system) tanpa membenarkan artis membuat pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal kepada penonton.

“Tindakan inilah yang menyebabkan kekeliruan dan kemarahan peminat. Kami memohon maaf kepada semua peminat yang hadir atas insiden yang tidak diingini itu.

“Namun kami telah melakukan segala usaha termampu untuk menyelamatkan keadaan, tetapi tersekat akibat ketegasan pihak venue yang enggan berkompromi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN