Khuatir kesihatan Noh Salleh, Siti Nurhaliza tidak bagi nyanyi - Utusan Malaysia

Khuatir kesihatan Noh Salleh, Siti Nurhaliza tidak bagi nyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prihatin terhadap kesihatan rakan seperjuangan, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menasihatkan vokalis Hujan, Noh Salleh supaya tidak kembali bernyanyi dalam masa terdekat.

Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 47, menyuarakan kebimbangan itu susulan Noh yang baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang di bahagian tengkuk.

“Semoga cepat sembuh Noh. Rehat dulu, jangan buat persembahan,” tulis penyanyi nombor satu negara itu menerusi ruangan komen Instagram.

Noh yang pernah tampil sebagai penyanyi undangan dalam beberapa konsert Siti membalas komen berkenaan dengan ucapan terima kasih.

Sebelum ini, Noh atau Mohammad Noh Salleh, 40, memaklumkan dia menjalani pembedahan di Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKMSC) akibat masalah saraf yang menyebabkan tangan kebas serta sakit belakang kronik sehingga menjejaskan aktiviti harian, termasuk mendukung anak.

“Proses pembedahan berjalan lancar dan dikendalikan oleh Prof. Datuk Dr. Mohd. Hisam Muhamad Ariffin.

“Apa yang membimbangkan, lokasi pembedahan berada betul-betul di belakang peti suara. Ia berisiko terhadap organ yang menjadi sumber rezeki saya selama ini.

“Namun, Allah jaga segalanya. Alhamdulillah,” katanya menetusi hantaran media sosial.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Angin Kencang itu mengakui berasa gusar memandangkan dia dijadualkan menjayakan sebuah persembahan pada Sabtu ini.

“Mohon doa kawan-kawan agar proses sembuh dipermudahkan dan kembali normal secepat mungkin. Risau? Ya, sebab ada persembahan Sabtu ini,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Noh berkata dia pada awalnya enggan berkongsi mengenai keadaan kesihatannya, namun terpaksa berbuat demikian selepas rakannya, AG Coco, memuat naik hantaran mengenai lawatan Noel ke hospital.

“Sebenarnya malas nak cerita, tapi AG sudah muat naik hantaran Noel melawat saya. Saya penat nak jawab satu persatu,” selorohnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN