Khaled Nordin jawab isu ATM di Parlimen

Khaled Nordin jawab isu ATM di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai isu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dirungkai dalam Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memberi penerangan pada 11.30 pagi ini mengenai perkembangan semasa dalam ATM.

“Insya-Allah pada Rabu ini saya akan menyampaikan Penerangan Menteri di Dewan Rakyat. Kementerian Pertahanan komited memastikan ATM kukuh, bersih dan dihormati,” kata Mohamed Khaled.

Sebelum sesi penerangan itu, Dewan Rakyat akan mengadakan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan bermula 10 pagi.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUR), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) akan membangkitkan persoalan mengenai status prestasi sea trial Kapal Littoral Combatant Ship 1 (LCS 1) KD Maharajalela dan sama ada ia akan dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal Ogos ini.

Ling Chai Yew (PH-Sibu) pula bertanya mengenai proses kelulusan untuk Inisiatif Kedai MyKasih masih mengambil masa yang terlalu lama.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan akan menjawab soalan dari Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai strategi kerajaan dalam menangani masalah pengangguran dalam kalangan graduan serta kadar penempatan kerja mengikut bidang pengajian dan sektor industri.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pula akan menjawab soalan mengenai cadangan kerajaan untuk mengawal selia proses penentusahan umur untuk platform-platform media sosial memandangkan ia melibatkan pemberian butiran peribadi warganegara kepada platform asing yang berpangkalan di luar negara.

Ahli-ahli Parlimen seterusnya akan menyambung semula perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN