Kes kebakaran terbuka meningkat 300 peratus

Kes kebakaran terbuka meningkat 300 peratus, kawasan belukar paling banyak terbakar

Kebakaran Gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Punggai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes kebakaran terbuka di seluruh negara meningkat ketara dengan merekodkan sebanyak 2,917 kes dilaporkan hanya pada sebulan pertama tahun ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, jumlah kes itu meningkat 300 peratus daripada tahun sebelumnya melibatkan kes kebakaran terbuka bagi kawasan seluas 328 hektar seluruh negara.

Bagaimanapun, menurut JBPM, sebanyak 287 hektar daripadanya telah berjaya dipadamkan manakala baki 41 hektar masih dalam tindakan pemadaman oleh pasukan bomba.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang amat signifikan berbanding tempoh sama pada tahun-tahun sebelumnya iaitu 729 kes pada tahun lalu melibatkan keluasan 11.19 hektar serta 66 kes pada tahun 2024 dengan keluasan 55.03 hektar.

“Kebakaran melibatkan kawasan belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan kes kebakaran terbuka apabila mencatatkan sebanyak 2,187 kes (75 peratus) bagi tempoh sama berbanding 440 kes (60 peratus) pada tahun 2025 dan 53 kes (80 peratus) pada 2024,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, JBPM berkata, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kumulatif kes kebakaran terbuka di seluruh negara apabila sebanyak 431 kes direkodkan untuk tempoh sama.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding 244 kes pada tahun 2025 dan hanya sembilan kes pada tahun 2024.

Jelas JBPM, peningkatan ketara kes kebakaran terbuka ini boleh dikaitkan dengan keadaan cuaca semasa yang panas, kering serta berangin yang dijangka berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia.

“Ia khususnya di bahagian utara, sehingga 31 Januari ini, berdasarkan analisis terhadap model-model ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Keadaan cuaca panas, kering dan berangin ini berpotensi meningkatkan risiko kemerebakan kebakaran terbuka, terutamanya melibatkan kawasan belukar dan tapak pelupusan sampah haram.

“Ia selari dengan trend peningkatan kes yang direkodkan JBPM sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Setakat ini, kata JBPM, kes kebakaran terbuka yang masih aktif adalah di negeri Johor yang meliputi kawasan seluas 196.5 hektar.

Ia melibatkan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Desa Selatan Kampung Lepau serta Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tuatau Bandar Penawar dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan oleh JBPM Negeri Johor.

“Sehubungan itu, JBPM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dan menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.

“Sentiasa mematuhi peraturan dan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN