DENGKIL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengambil masa kira-kira 12 jam memadam kebakaran sebuah treler membawa bahan mudan terbakar iaitu logam oksida (aluminium atau zink oksida) di Kilometer (KM) 28 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan pada 9.25 malam dan tiba di lokasi selepas 15 minit kemudian.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil dibantu BBP Cyberjaya, BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah treler membawa muatan logam oksida terbakar 80 peratus.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 9.25 pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi seterusnya mengalihkan lori yang terbakar di bahu jalan dengan bantuan jengkaut tidak dapat dilakukan akibat bahan yang dibawa mudah terbakar.
“Sentuhan besi jengkaut dengan treler boleh menghasilkan kebakaran semula.
“Sehubungan itu, treler itu dialihkan dengan teknik menolak ke cerun anggaran setinggi 1.5 meter berlantaikan rumput,” katanya. – UTUSAN










