PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapat penglibatan pihak yang mempunyai kepentingan dalam kes IJM Corporation.
Pihak terbabit membuat keputusan sehingga memberi kelebihan kepada beberapa individu berhubung dakwaan kes pengubahan wang haram RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengenalpasti beberapa individu lain yang terlibat berkait kes dakwaan pengubahan wang haram itu.
“Setakat ini, pasukan penyiasatan masih giat melakukan analisa kewangan masih sedang dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Azam berkata, SPRM sedang menunggu maklum balas daripada beberapa agensi penguatkuasaan luar negara berkaitan
“Setakat hari ini, (semalam) perbincangan dijalankan dengan agensi penguatkuasa dan perisikan luar negara berkait pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion,” katanya.
Kelmarin, SPRM mengesahkan kerjasama dijalankan bersama pihak berkuasa United Kingdom (UK) berhubung isu ini.
Maklumat tersebut diperoleh daripada pihak beratoriti iaitu Serious Fraud Office United selepas SPRM menerima permohonan yang dihantar oleh pihak berkuasa UK untuk menjalankan siasatan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, SPRM membekukan 55 akaun bank persendirian dan syarikat bernilai RM15.8 juta, dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap IJM Corporation berhubung dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.
Siasatan menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Setakat ini, pasukan penyiasat telah membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan berlainan iaitu kediaman dan pejabat salah seorang pengurusan tertinggi IJM Corporation. – UTUSAN










