PUTRAJAYA: Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) dan seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Selain itu, seorang lelaki turut ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes sama.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini.
Terdahulu, empat individu itu tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini kira-kira pukul 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM.
Mereka tiba dengan berpakaian lokap warna jingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dalam keadaan tangan yang bergari.
Media semalam melaporkan, kedua-dua mereka ditahan sekitar pukul 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di sini.
Difahamkan, siasatan SPRM kini menumpukan kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. – UTUSAN










