Kerajaan teliti cadangan komuniti Baba Nyonya, Chetty ikon perpaduan - Utusan Malaysia

Kerajaan teliti cadangan komuniti Baba Nyonya, Chetty ikon perpaduan

AARON Ago Dagang (tengah) menyampaikan cek cura kepada 10 KRT melalui Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Tahun 2026 (Kluster Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) Peringkat Negeri Perak di Pusat Nadi Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedia meneliti cadangan supaya komuniti Baba Nyonya dan Chetty diangkat sebagai ikon perpaduan nasional.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementerian terbuka menerima mana-mana pencalonan yang dikemukakan untuk diangkat sebagai ikon perpaduan termasuk melibatkan komuniti berkenaan.

“Terima kasih (atas cadangan itu). Kita akan teliti dan lihat bagaimana dia (individu atau sesuatu komuniti) boleh diangkat sebagai ikon perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Tahun 2026 (Kluster Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) Peringkat Negeri Perak di Pusat Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, KPN ketika ini mempunyai beberapa ikon perpaduan yang diiktiraf berdasarkan sumbangan mereka dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum, termasuk atlet terkemuka negara.

“Kalau ingat, Ratu Terjun Negara, Datuk Pandelela Rinong dari Sarawak pernah diangkat sebagai ikon perpaduan negara. Malah, di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa, kita ada ejen perpaduan.

“Banyak cadangan daripada orang ramai supaya tokoh-tokoh kepimpinan negara juga dipertimbangkan untuk dijadikan ikon perpaduan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin ketika di Dewan Rakyat mencadangkan agar komuniti Baba Nyonya dan Chetti Melaka diiktiraf secara rasmi sebagai Ikon Perpaduan Negara.

Menurut beliau, kedua-dua kumpulan etnik itu telah tiba di Melaka sejak awal abad ke-15 dan seterusnya berasimilasi dengan masyarakat tempatan melalui makanan, pakaian serta penguasaan bahasa Melayu yang kuat.

“Akar umbi komuniti Baba Nyonya dan Chetty boleh dikesan sejak era Kesultanan Melaka. Komuniti ini wajar dijadikan ikon perpaduan nasional kerana keunikan mereka yang mampu menjadi jambatan antara pelbagai kaum,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN