PETALING JAYA: Kerajaan akan terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza yang dijangka dilancarkan pertengahan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terbabit secara langsung dalam misi itu sebagai kesinambungan perjuangan moral antarabangsa.
Katanya, ia bagi menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama.
“Insya-Allah, kita akan menggerakkan segala kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Keadilan ini tidak boleh lagi ditangguhkan demi sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar membuat hantaran itu selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)
Turut hadir dalam perjumpaan di Perdana Putra petang tadi ialah Pengasas Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri.
Anwar berkata, beliau dimaklumkan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza semasa perjumpaan tersebut.
“Keadaan di Gaza semakin meruncing, sekatan bantuan yang berpanjangan, ketidaktentuan konflik serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman.
“Sani dan Nadir juga berkongsi keberhasilan Misi Sumud Nusantara yang berjaya memecahkan kebisuan dunia dan mengangkat suara Gaza ke pentas antarabangsa,” katanya. –UTUSAN










