PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan pelaburan strategik ke luar negara sebagai langkah persediaan jangka panjang bagi menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan yang dikenali sebagai reverse investment itu bertujuan memastikan keterjaminan makanan negara, khususnya bagi komoditi penting yang berdepan kekangan pengeluaran tempatan.
Menurut beliau, langkah berkenaan perlu dilaksanakan susulan landskap global yang semakin tidak menentu apabila isu makanan kini terdedah kepada sekatan eksport, ketegangan antarabangsa dan bencana luar jangka.
“Kerajaan tidak lagi boleh bergerak secara reaktif. Kita perlu mengambil langkah mitigasi yang strategik bagi melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak berkata, reverse investment dirancang melibatkan sektor padi dan ruminan, khususnya lembu, sebagai persediaan menghadapi sebarang kejutan bekalan pada masa hadapan.
Beliau berkata, bagi sektor padi, pelaburan itu membabitkan penanaman di luar negara oleh syarikat Malaysia supaya bekalan dapat diimport semula sekiranya pengeluaran domestik terjejas.
Menurutnya, pendekatan sama turut dirancang bagi sektor ruminan memandangkan kekurangan tanah yang sesuai untuk penternakan lembu berskala besar dalam negara.
“Kita sedang berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mengadakan penternakan lembu di luar negara. Lembu-lembu ini akan dibawa masuk mengikut jadual tertentu bagi memastikan bekalan sentiasa konsisten,” katanya. – UTUSAN










