Kerajaan fokus pembangunan bakat tempatan, perkukuh ekonomi Sabah

Kerajaan fokus pembangunan bakat tempatan, perkukuh ekonomi Sabah

MOHD. SHAHAR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negeri Sabah ketika ini akan diperkukuh menerusi fokus yang diberikan kepada pembangunan infrastruktur strategik dan pembangunan bakat tempatan di negeri itu.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, ekonomi Sabah ketika ini didominasi sektor minyak mentah, petroleum dan tanaman kelapa sawit yang menyumbang kira-kira 40.6 peratus kepada keseluruhan struktur ekonomi negeri berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada dua aspek penting di Sabah iaitu pembangunan infrastruktur strategik dan pembangunan bakat tempatan seperti di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Kerajaan juga menekankan kepada tiga bidang berkaitan tahap kemudahan infrastruktur, rangkaian perhubungan dan ketersediaan bakat tempatan.

“Dalam RMK13, kerajaan turut mengambil kira isu industri hiliran dalam usaha menambah baik ekonomi Sabah melalui pembangunan ekonomi biru serta penerokaan ekonomi baharu,” katanya pada Waktu Pertanyaan bagi Jawap Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (GRS-Semporna) mengenai pelan intervensi khusus untuk memacu semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, kira-kira 42,000 anak Sabah mengikuti pengajian di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bidang lain, sekali gus mencatatkan peningkatan berbanding 34,000 orang dua hingga tiga tahun lalu.

“Infrastruktur strategik menjadi antara faktor utama pertimbangan pelabur yang membuat keputusan berdasarkan perhitungan komersial, di samping rangkaian perhubungan dan ketersediaan bakat tempatan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Mohd Shahar berkata, kerajaan menggunakan beberapa sistem pemantauan bersepadu di peringkat pusat untuk memantau petunjuk prestasi utama (KPI) bagi Sabah dan Kelantan,

Jelasnya, pemantauan pelaksanaan projek dan perbelanjaan dibuat menerusi MyRMK di bawah Kementerian Ekonomi, MyProject di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta MyBelanjawan di bawah Kementerian Kewangan yang dibentangkan secara berkala di Parlimen.

“Pembangunan wilayah adalah agenda penting dan dalam RMK13, pendekatan berasaskan data digunakan bagi mengenal pasti potensi kawasan yang perlu dibangunkan. Namun, penambahan infrastruktur asas dan tahap kesalinghubungan kekal menjadi keutamaan kerana ia sangat mempengaruhi keputusan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN