Kerajaan digesa jelas dakwaan serah tanah kepada Indonesia

Kerajaan digesa jelas dakwaan serah tanah kepada Indonesia

Hamzah Zainudin / JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi penjelasan mengenai dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dakwaan tersebut perlu dibincangkan di Dewan Rakyat walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menafikan laporan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman.

Kata beliau, dakwaan tersebut melibatkan kedaulatan negara yang tidak boleh dipandang ringan dan harus dibincangkan dengan kadar segera.

“Di sini mereka (kerajaan) cakap lain, di Indonesia ceritanya lain. Kami ahli-ahli Parlimen rasa bimbang. Haritu rakyat dah bangkit tentang Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).

“Kami nak perkara-perkara seperti ini terutama tentang isu kedaulatan, bawalah dulu ke dalam Parlimen, kalau taknak dalam Parlimen, jawatankuasa pun tidak mengapa sebab jawatankuasa ini penting,” katanya semasa sidang media d Pusat Media, Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Pada 24 Januari lalu, Anwar menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan secara baik dalam mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung yang dilaporkan termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Tiga kampung itu ialah Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas yang terletak berdekatan sempadan Tawau, Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Makhruzi pada mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di Kompleks Parlimen, Senayan, Rabu lalu.

Makhruzi dipetik berkata, perubahan itu berkait penyelesaian beberapa ‘Outstanding Boundary Problem’ (OBP) atau isu sempadan yang sebelum ini belum dimuktamadkan antara Indonesia dengan Malaysia, khususnya membabitkan Pulau Sebatik yang terbahagi kepada dua pentadbiran negara. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN