DENGKIL: Kenderaan boleh dilucut hak dan permit serta lesen syarikat perdagangan boleh dibatalkan.
Itu tindakan tegas boleh diambil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap mana-mana pemandu dan pemilik syarikat yang sengaja mematikan Sistem Kedudukan Global (GPS) pada kenderaan perdagangan mereka.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadli Ramli berkata, pihaknya sudah lali dengan tindakan dan taktik itu terutama ketika operasi penguatkuasaan malah, ia bukan perkara baharu.
“Jangan mengambil tindakan yang tidak wajar seperti memadam GPS atau mematikan sistem kenderaan kerana ia hanya akan merugikan pemilik dan pemandu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Peringkat Negeri Selangor di Hentian Rawat dan Rehat Dengkil (Utara) di sini, malam tadi.
Terdahulu, pada operasi sama, Aedy berkata, pihaknya berjaya mengesan sebuah lori yang sengaja mematikan GPS bagi mengelak kenderaan itu disita.
Difahamkan, taktik itu digunakan pemilik lori bagi memastikan keseluruhan sistem kenderaan dimatikan secara automatik bagi mengelakkan lori terbabit bergerak serta tindakan penguatkuasaan.
Aedy berkata, sebaik GPS dipadam, keseluruhan sistem lori akan terpadam dan tidak lagi berfungsi menyebabkan kenderaan terbabit tidak dapat digerakkan serta menyukarkan tindakan diambil.
“Kami tidak akan teragak-agak membawa kes berkenaan sehingga ke peringkat pelucuthakan sekiranya kesalahan itu berterusan dan melibatkan pelanggaran undang-undang serius,” katanya.- UTUSAN










