Keluar awal, tetap lewat ke sekolah - Utusan Malaysia

Keluar awal, tetap lewat ke sekolah

KESESAKAN lalu lintas yang dihadapi oleh penduduk Taman Pinggiran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan pada setiap pagi yang sudah berlarutan sejak 10 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak yang sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu di Taman Pinggiran Senawang di sini, amat memberi kesan kepada kehidupan penduduk sekitar.

Ada penduduk yang lewat tiba ke tempat kerja, tidak terkecuali juga anak-anak yang bersekolah, meskipun sudah keluar seawal pukul 6 pagi.

Pengerusi Persatuan Komuniti Sejahtera Senawang, Mohd. Khalid Hussein, 39, berkata, trafik bertambah teruk terutama di persimpangan antara Taman Pinggiran Senawang dan Stesen Keretapi Sungai Gadut serta empat simpang utama.

“Kami kesian pada anak-anak yang hendak pergi sekolah. Ada ibu bapa yang mengadu anak mereka selalu datang lewat ke sekolah kerana kesesakan ini. Jadi saya harap pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di taman kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, kesesakan berlaku sekitar pukul 6.20 hingga 8 pagi melibatkan laluan utama dari Pinggiran Senawang ke Senawang Perdana dan Stesen Keretapi Sungai Gadut.

“Jumlah kenderaan semakin bertambah susulan pembukaan beberapa taman perumahan yang baharu sekitar kawasan ini, sehingga laluan sedia ada tidak lagi mampu menampung aliran trafik.

“Kami meminta pihak ber­kaitan membuka satu jalan be­lakang bagi mengurangkan ke­sesakan yang berlaku setiap hari,” katanya.

Mohd. Khalid berkata, lampu isyarat di persimpangan antara Taman Pinggiran Senawang dan Stesen Keretapi Sungai Gadut serta empat simpang utama juga perlu diselaraskan bagi melancarkan aliran trafik.

“Lampu isyarat hanya hijau sekejap bagi laluan tertentu, manakala laluan lain menunggu terlalu lama. Jika mahu hijau, biarlah semua laluan dari Taman Pinggiran Senawang hingga ke persimpangan Stesen Keretapi Sungai Gadut selari dan tempohnya lebih lama.

“Kesesakan paling teruk berlaku di taman kami, teruta­manya Taman Pinggiran Sena­wang, walaupun laluan dari arah Seremban tidak sesak,” katanya.

Mohd. Khalid berkata, aduan telah beberapa kali dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun setakat ini belum menerima maklum balas atau tindakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN