ALOR GAJAH: Cubaan seorang lelaki yang mendakwa baharu pertama kali mengedar dadah membawa padah apabila dia ditahan polis bersama heroin dan syabu di Jalan Baharu Ayer Limau–Jeram, Masjid Tanah di sini Sabtu lalu, dengan berat yang berkemungkinan membawa hukuman mati.
Suspek berusia 26 tahun itu ditahan bersama beberapa peket dadah dipercayai untuk pasaran tempatan kira-kira pukul 4.20 petang ketika menunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya merampas 23 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin dengan berat keseluruhan 31.26 gram (g) serta tujuh peket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 5.47g.
“Keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1,383.70 dan mampu digunakan oleh kira-kira 73 penagih,” katanya hari ini.
Ahmad berkata, suspek sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat rekod kesalahan berkaitan dadah sejak 2016.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kini direman selama enam hari sehingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










