Kabinet setuju had tempoh PM, bentang tahun ini

Kabinet setuju had tempoh PM, bentang tahun ini

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju dengan cadangan dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan membuat beberapa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

“Kerajaan semalam bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan di bawah agenda reformasi institusi Kerajaan Madani.

“Keputusan ini dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor-syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus holistik dengan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat tahun baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Tambah Azalina, cadangan mengehadkan tempoh jawatan ini bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara.

“Ia selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN