BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak akan melaksanakan program jualan ikan murah lebih 150 kali di semua 12 daerah di negeri ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Pengarahnya, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial agensi berkenaan dalam memastikan bekalan ikan berkualiti dapat diperoleh pada harga berpatutan.
“Sepanjang tahun ini kita akan mengadakan jualan ikan murah di 12 daerah di Perak bagi meringankan beban kos sara hidup khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.
“Ikan yang dijual terdiri dari pelbagai jenis dan pada harga yang rendah dan berpatutan dengan harga semasa. Kita telah mulai mempromosikan lokasi jualan yang diadakan melalui platform media sosial rasmi LKIM bagi memastikan maklumat sampai kepada orang ramai.
“Jualan ikan murah akan terus diperkasakan bagi memastikan rakyat terus mendapat manfaat dan stok bekalan ikan untuk musim perayaan sambutan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri tahun ini mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada nelayan yang ditimpa bencana di Kampung Matang Gelugor di sini hari ini.
Mengenai sumbangan bantuan kepada nelayan, beliau berkata, LKIM menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM228,100 kepada 32 mangsa bencana di seluruh Perak sepanjang tahun 2025.
Menurutnya, bantuan kewangan yang disalurkan selepas bancian dan pemantauan kerosakan yang dijalankan membabitkan mangsa banjir, kerosakan harta benda serta kes kematian dalam kalangan nelayan berdaftar.
“Setiap kes dikategorikan mengikut tahap dan jenis kerosakan. Bagi rumah yang musnah sepenuhnya, bantuan sehingga RM7,000 disediakan bergantung kepada keperluan,” katanya. – UTUSAN










