KOTA BHARU: Seorang warga emas yang mengalami sakit belakang terselamat daripada rentung selepas jiranya bertindak pantas membawanya keluar selepas rumah di Langgar terbakar hari ini.
Kejadian pukul 2 petang itu berlaku semasa mangsa, Siti Haminah Daud, 64, sedang mengambil wuduk untuk solat Zohor sebelum dikejutkan dengan letupan kuat dari arah dapur.
Siti Haminah berkata, keadaan bertambah panik apabila dia mendapati api sudah marak dan menyambar tilam berhampiran fius utama elektrik di bahagian dapur.
Katanya, terkejut dengan kejadian itu dia terus menjerit sekuat hati untuk mendapatkan pertolongan.
“Saya bersyukur jeritan itu didengar oleh jiran yang kemudian terus datang dan membawa keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Siti Haminah memberitahu, semasa kejadian dia berseorangan dirumah kerana suami Syed Abdul Hamid Syed Ahmad, 77, menunaikan solat zohor berjemaah di masjid berdekatan.
Katanya, kebakaran itu menyebabkan lima buah kenderaan yang berada di rumahnya turut hangus.
“Semasa kejadian saya hanya sempat mengambil beg tangan, manakala barang kemas dan sejumlah wang tunai berjumlah RM3,000 untuk diberikan kepada anak bongsu berusia 28 tahun yang masih belajar turut hangus.
“Anggaran kerugian yang saya alami bernilai RM100,000,” ujarnya.-UTUSAN










