PETALING JAYA: Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hendaklah kekal dan diurus tadbir mengikut peruntukan Perlembagaan PN.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menyambut baik komitmen semua parti anggota PN untuk memperkukuhkan kesepakatan dalam gabungan tersebut.
Namun katanya, mengenai cadangan pindaan Perlembagaan PN berhubung penstrukturan Majlis Presiden, Majlis Presiden hendaklah terus bertindak sebagai Badan Penasihat dan Pengawal Selia bagi memelihara dasar-dasar serta hala tuju PN, selaras Fasal 7A Perlembagaan PN.
“Berhubung kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi PN akan dimansuhkan dan isu pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit.
“Saya ingin menegaskan isu tersebut tidak pernah dibincangkan oleh pihak kami. Isu ini juga tidak dipersetujui, termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari 2026,” katanya menerusi surat yang diedarkan kepada semua Presiden parti anggotan PN hari ini.
Abdul Hadi turut merujuk cadangan Pas dalam surat bertarikh 14 Disember 2024 bahawa Majlis Tertinggi PN (MTPN) perlu bertindak sebagai Majlis Eksekutif (ME) yang bertanggungjawab melaksanakan semua perancangan parti.
Ia termasuk dari sudut pentadbiran, organisasi dan strategi bagi memperkukuhkan gabungan, termasuk persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).
Katanya, kuasa dan fungsi ME perlu digariskan secara terperinci dan diselaraskan dengan idealisme serta perancangan semua parti anggota.
“Dalam menjalankan tanggungjawabnya, ME juga wajib akauntabel kepada Majlis Presiden yang memantau dan mengawal selia dasar serta hala tuju yang ditetapkan.
“Berdasarkan perkara ini, pandangan dan pendirian Pas adalah Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai Badan Penasihat dan Pengawal Selia, manakala Majlis Eksekutif PN bertindak sebagai Badan Pelaksana dalam urusan pentadbiran dan strategi parti, selaras Fasal 8 Perlembagaan PN.
“Jawatan Pengerusi PN hendaklah kekal dan diurus tadbir seperti mana diperuntukkan dalam Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN,” katanya. – UTUSAN










