KUALA LUMPUR: Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan dimansuhkan sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan pembangkang dalam pakatan itu.
Perkara itu diputuskan dalam pertemuan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin-pemimpin Pas pada 16 Januari lalu.
Menurut surat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Presiden parti komponen PN, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu menerajui Majlis Presiden PN iaitu badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar, sementara Pas mengetuai Eksekutif yang bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran.
“Kewujudan kedua-dua majlis amat penting bagi memastikan PN mengekalkan imej sederhana selaras dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Dengan penstrukturan ini, jawatan pengerusi PN dimansuhkan dan sebarang isu berkaitan pelantikan pengerusi PN tidak lagi timbul,” menurut kandungan surat tersebut.
Surat bertarikh 27 Januari itu ditujukan kepada Abdul Hadi, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan yang antara lain menyentuh hasil perbincangan antara pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas berhubung pelantikan Pengerusi PN.
Langkah itu diambil selepas beberapa minggu pertikaian dalaman PN berhubung jawatan pengerusi selepas wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponennya mengenai peralihan kepimpinan dan imbangan kuasa.
Cadangan itu dibuat susulan satu pertemuan di kediaman Muhyiddin bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam surat sama, Muhyiddin berkata, beliau telah menghubungi Presiden Gerakan dan Presiden MIPP bagi memaklumkan keputusan dicapai antara Pas dan Bersatu dengan kedua-dua mereka menyokong kesepakatan tersebut.
Selain itu, Muhyiddin mencadangkan supaya Mesyuarat Tertinggi PN yang sepatutnya berlangsung hari ini dibatalkan dan digantikan dengan sesi pra majlis Presiden parti komponen bagi membincangkan cadangan pindaan perlembagaan dan hala tuju baharu gabungan.
Beliau berkata, pertemuan dalam kalangan pimpinan parti itu telah pun dipersetujui sebagai langkah perlu sebelum sebarang mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan.
“Kita harus kembali kepada semangat muafakat dalam menyelesaikan kebuntuan dalaman PN secara harmoni,” katanya.
Sebelum ini, Takiyuddin selaku Timbalan Setiausaha Agung memanggil satu mesyuarat luar biasa PN bagi membincangkan pelantikan Pengerusi PN ekoran peletakan jawatan Muhyiddin bermula 1 Januari lalu. – UTUSAN










