Jangan heret isu perkauman, bahasa sehingga jejaskan fokus pendidikan negara

Jangan heret isu perkauman, bahasa sehingga jejaskan fokus pendidikan negara

ANWAR Ibrahim merasmikan pembangunan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar pendidikan negara tidak boleh terus diheret dengan perbincangan isu-isu yang memecah-belahkan masyarakat seperti soal kaum dan bahasa sehingga menjejaskan tumpuan terhadap mutu pendidikan serta masa depan anak-anak.

Perdana Menteri berkata, walaupun isu kaum dan bahasa dalam pendidikan adalah penting, ia perlu diselesaikan segera supaya negara dapat memberi fokus kepada kualiti pendidikan dan pembangunan generasi masa depan.

“Jangan diheret bincang soal-soal yang memecahbelahkan kita, tak habis-habis. Soal kaum, soal bahasa ia penting, tetapi kena selesaikan segera dan tumpu masalah negara kita, masa depan anak-anak kita, mutu pendidikan mereka,” katanya berucap pada majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, hampir semua negara di ASEAN memulakan persekolahan formal pada usia enam tahun dan Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam memastikan kanak-kanak bersedia lebih awal melalui pendidikan prasekolah.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mempercepat penyediaan kemudahan prasekolah percuma bagi kanak-kanak berusia lima tahun sebagai persediaan memasuki Darjah Satu pada usia enam tahun, namun pelaksanaannya buat masa ini tidak diwajibkan bagi menghormati pandangan ibu bapa.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan keperluan penilaian awal murid, khususnya di peringkat Darjah Empat, bagi memastikan penguasaan asas membaca, menulis dan mengira serta penguasaan bahasa dapat dikenal pasti dan diperbaiki lebih awal.

Sementara itu, mengulas isu aliran pendidikan pula, Anwar berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menyalahkan mana-mana aliran seperti UEC, sekolah agama rakyat atau sekolah antarabangsa, sebaliknya mencari penyelesaian secara menyeluruh dan adil.

“Kalau nak belajar aliran bahasa Arab, sekolah agama rakyat atau sekolah antarabangsa atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) boleh. Syaratnya mesti menguasai bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.

“Kalau kita berikan ruang itu dan dia terima syarat itu, kita kena berilah ruang dia boleh naik ke kolej dan ke universiti,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, dasar pendidikan negara perlu memberi keutamaan kepada mutu pendidikan selari dengan perubahan dunia termasuk dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI), tanpa mengabaikan pembentukan nilai kemanusiaan dan perpaduan.

“Pendidikan bukan sekadar melahirkan manusia berilmu, tetapi manusia yang menghormati perbezaan kaum, budaya dan hidup bersama di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN