PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menyita dan merampas keseluruhan wang tunai dan aset bernilai RM16.1 juta membabitkan Op Parasit dan Op Star.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi Op Parasit, keseluruhan wang tunai dan aset dirampas adalah bernilai RM11.4 juta manakala, Op Star bernilai RM4.7 juta.
Bagi Op Parasit, katanya, wang tunai berjumlah RM4.4 juta telah dirampas selain mata wang asing bernilai RM1.4 juta dan sebuah kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000.
“Turut dirampas 26 unit jam mewah jenama Rolex bernilai RM2.3 juta, barang kemas RM294,039.90, dua cincin berlian RM20,000, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas (8.5g) RM5,780.
“Kesemua aset dan wang tunai ini dirampas daripada dua buah kediaman masing-masing di Kuala Lumpur dan Besut, Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Katanya, selain rampasan itu, pihaknya turut membekukan 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta termasuk daripada pegawai tertinggi tentera dan kontraktor yang disiasat dalam Ops Parasit.
Dalam pada itu, Azam berkata, bagi Op Star pula, pihaknya telah merampas keseluruhan RM4.7 juta termasuk wang tunai, kenderaan, jongkong emas dan pembekuan akaun syarikat.
“Dua kenderaan mewah jenis Mercedes A180 class dan Toyota Vellfire dirampas selain sebuah kereta Proton Iriz, dua motosikal jenis Yamaha Xmax 250 dan Honda Adv 150.
“Turut dirampas wang tunai bernilai RM1.3 juta, RM721,000 (jumlah keseluruhan nilai mata wang asing),
66 jongkong emas (2.49kg) (anggaran nilai RM1.7 juta) dan lapan akaun syarikat dibekukan,” katanya.
Ditanya sama ada aset dan wang tunai dirampas diperolehi suspek sebagai hadiah atau dibeli, Azam bagaimanapun enggan menjelaskan perkara itu. – UTUSAN










